Tips Berjaya dalam Perniagaan Online

Keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa kini, ditambah dengan cabaran kehilangan pekerjaan oleh syarikat-syarikat gergasi serta cabaran dunia VUCA (volatility, uncertainty, complexity, and ambiguity), salah satu pendekatan yang berpotensi untuk mengatasi situasi ini adalah dengan menjalankan perniagaan secara atas talian atau lebih dikenali sebagai online business. Antara perniagaan atas talian yang popular di Malaysia adalah termasuklah butik pakaian muslimah seperti tudung atau baju wanita, jualan kuih tradisional dan moden, perkhidmatan reka bentuk grafik, serta kursus pemprograman atas talian. 

Hal ini demikian kerana potensi perniagaan atas talian yang amat besar. Berdasarkan laporan tahunan SYNC Asia Tenggara oleh Meta dan Bain & Company, prospek membeli-belah digital secara keseluruhannya kekal positif di Malaysia, dengan Nilai Dagangan Kasar (GMV) dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 11% bagi tempoh antara 2022 dan 2027. Sebahagian besar keadaan ini dipacu oleh pertumbuhan stabil populasi pengguna digital di Malaysia, yang dicatatkan tertinggi berbanding negara serantau Asia Tenggara iaitu 25 juta pengguna.

Walaubagaimanapun, adalah penting untuk diakui bahawa mengendalikan perniagaan atas talian bukanlah perkara yang mudah sebagaimana yang mungkin dijangkakan. Oleh itu, adalah penting untuk anda memperoleh pengetahuan terlebih dahulu mengenai langkah-langkah untuk memulakan perniagaan anda sendiri secara atas talian. Ini adalah kerana ia akan membekalkan anda dengan asas yang kukuh untuk memulakan perjalanan perniagaan anda. Penulisan ini akan merungkai tips-tips penting untuk memastikan perniagaan atas talian anda berdaya maju.

Gambar Ehsan: IPendidikan

1. Rancang Matlamat Perniagaan Anda

Media sosial sering menghidangkan kita dengan pelbagai peluang-peluang menarik untuk mencipta kekayaan melalui perniagaan atas talian. Anda perlu berhati-hati terutamanya apabila dihadapkan dengan peluang-peluang yang terlalu bagus untuk betul atau “too good to be true“. Tetap tenang dan tumpukan perhatian kepada matlamat jangka panjang anda. Keinginan cepat kaya boleh mengaburi fikiran dan menggalakkan penyertaan dalam skim cepat kaya. Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia pada Oktober 2021, setakat penghujung September 2021, pihak BNM telah menerima lebih 2,000 panggilan berkaitan skim cepat kaya dan kerugian yang dianggarkan adalah melebihi RM10 juta berdasarkan laporan yang diterima.

Maka, adalah penting untuk anda merancang matlamat dengan bijak. Kegagalan untuk merancang perkara ini boleh membawa kepada penglibatan dalam skim yang tidak jelas dan kesukaran perniagaan untuk bertahan ketika waktu ketidaktentuan ekonomi. Pandemik COVID-19 telah mengajar kita akan realiti sebenar.

Pengurusan kewangan peribadi dan perniagaan berkait rapat. Semasa pandemik, fokus utama adalah untuk bertahan, terutamanya dari segi kewangan. Hanya buat perbelanjaan penting untuk memastikan aliran tunai peribadi anda kekal positif.

Hal yang sama berlaku dalam perniagaan, aliran tunai positif perlu diberi keutamaan. Walaupun untung sedikit, yang penting adalah mengekalkan aliran tunai yang positif. Pada peringkat awal perniagaan, matlamat utama adalah untuk bertahan. Kebanyakan pakar perniagaan menasihati agar bertahan dalam tiga tahun pertama, untuk mencapai hasil yang baik selepasnya.

Contoh aliran tunai positif dalam perniagaan adalah apabila pendapatan yang diterima dari penjualan produk atau perkhidmatan melebihi jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk operasi perniagaan, termasuk kos pembelian bahan, upah pekerja, sewa lokasi perniagaan, dan kos lain. Misalnya, jika sebuah perniagaan menjual pakaian dengan pendapatan bulanan RM20,000 dan perbelanjaan bulanan termasuk kos bahan dan upah pekerja adalah RM15,000, maka aliran tunai positif adalah RM5,000. Ini bermakna terdapat lebihan tunai yang boleh digunakan untuk membayar hutang, pelaburan, atau perkembangan perniagaan.

Gambar Ehsan: PNGTree

2. Manfaatkan Media Sosial dan Fahami Strateginya

Di masa lampau, kita terpaksa menjual di tepi jalan atau membawa barang dagangan dari rumah ke rumah. Namun, masa-masa tersebut telah berakhir. Dengan hadirnya internet, kita kini mampu memperluaskan potensi jualan secara global.

Internet adalah tanpa ragu medium terbaik untuk memamerkan produk anda. Dengan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok dan blog, ini adalah di antara platform-platform yang terkenal untuk memasarkan produk anda.

Langkah awal terbaik adalah mencipta laman atau akaun khas untuk memperkenalkan produk anda. Kemudian, carilah sokongan dari rakan-rakan, ahli keluarga, dan rangkaian kenalan anda di media sosial. Adakah terdapat platform media sosial lain yang anda kenali?

Gunakan dan rancang strategi pemasaran atas talian anda dengan terbaik setelah melakukan penyelidikan pasaran. Dalam dunia perniagaan, strategi pemasaran yang sesuai dengan produk adalah perlu. Dengan langkah ini, pengembangan perniagaan menjadi lebih teratur dan terancang.

Jika anda memilih Facebook sebagai platform promosi produk, anda perlu sedar bahawa pendekatan pemasaran sedikit berbeza berbanding Instagram atau platform lain. Anda boleh menggunakan iklan pemasaran (ads) di Facebook untuk mendapatkan jumlah ‘likes’, pengikut, dan sebagainya.

Hal yang sama juga untuk Instagram. Anda boleh menggunakan ‘hashtag’ dan posting menarik untuk menarik perhatian pembeli. Yang paling penting, pastikan gambar produk adalah jelas, cerah, dan menarik. Ini akan menarik minat pembeli. Paling penting, fahami siapa kumpulan sasaran pelanggan anda terlebih dahulu.

Gambar Ehsan: Deposit Photos

3. Pilih Motivasi yang Tepat

Masih ingat lagi, ada yang pernah berkata “Dalam setandan pisang yang masak, pasti ada sebiji yang rosak. Malah, dalam sekampit beras yang mentah, pasti akan ada sebutir antah. Langit tak selalunya cerah, hidup tak selalunya indah”. Hal ini juga perlu diingat dalam anda menceburi dunia perniagaan. Tidak setiap masa hasil dan jualan kita berkembang. Kadang-kadang jualan akan mengalami penurunan. Selain dari aliran tunai positif yang dapat menangani perniagaan ketika jualan rendah dan tidak mencapai sasaran anda, motivasi juga penting untuk mengekalkan semangat dalam mengurus perniagaan.

Sesetengah orang menggunakan harta dan harta benda sebagai sumber motivasi. Namun, motivasi seperti ini tidak kekal. Bayangkan, anda mencapai apa yang diinginkan dan akhirnya merasa kosong. Ini dikenali sebagai “motivasi kering,” di mana hasrat tercapai tetapi tidak memuaskan. Ini mendorong pencarian motivasi baru yang lebih kuat. Kadang-kadang, sasaran yang dikejar menjadi beban dan boleh merugikan perniagaan.

Oleh yang demikian, adalah disarankan untuk anda memilih sumber motivasi yang memberi kepuasan dalam jangka panjang. Selesaikan hutang, sumbang kepada masyarakat, tunaikan umrah atau haji sebagai contoh. Percayalah, pengalaman motivasi seperti ini memberikan kepuasan mendalam dan semangat untuk membesarkan perniagaan. 

Dalam Islam, membantu keluarga adalah keutamaan. Jadi, tidak salah untuk anda letakkan motivasi utama perniagaan anda adalah untuk membantu menambahbaik kehidupan keluarga anda.

Gambar Ehsan: Funding Societies

4. Fahami Cara Menguruskan Kewangan Perniagaan

Seterusnya, apabila berbicara tentang perancangan kewangan peribadi atau perniagaan, anda tidak boleh mengabaikan perkara penting seperti rumus-rumus penting pengurusan kewangan. Tidak perlu memahami semua perkara untuk berjaya. Cukup memahami asas dan mengamalkannya. Berikut adalah beberapa rumus asas yang perlu anda ketahui.

#1: Pisahkan wang peribadi dan perniagaan

Kebanyakan usahawan baru menghadapi masalah ini kerana mereka beranggapan duit yang diperolehi daripada perniagaan juga milik peribadi. Tanda masalah ini jelas apabila walaupun jualan meningkat, anda tidak melihat hasilnya. Akhirnya, anda terus mencari jualan baru tanpa melihat hasil yang sebenar.

Masalah semakin teruk semasa membayar cukai. Apabila semua wang campur aduk dan dokumen-dokumen penting perniagaan tidak disimpan, anda mungkin rasa malas dan tidak perlu untuk membayar cukai. Jika ini terjadi, perniagaan anda mungkin terjejas kerana bank tidak mengiktirafnya disebabkan ketidakpatuhan membayar cukai. Untuk mengatasi masalah ini, anda perlu menetapkan berapa gaji yang anda akan ambil. Misalnya, anda ingin mengambil gaji RM2,000. Walaupun ada lebihan, jangan tergoda untuk menggunakannya.

Daftarkan perniagaan anda dengan SSM dan buka akaun bank perniagaan. Setiap bulan, ambil gaji anda ke akaun simpanan. Ini akan membantu anda melihat dana dalam akaun perniagaan semasa perniagaan anda berkembang.

#2. Fahami rumus aliran tunai

Seperti yang diterangkan sebelum ini, untuk memastikan aliran tunai positif, pendapatan mesti melebihi perbelanjaan.

Aliran tunai = Pendapatan – Perbelanjaan

Untuk meningkatkan keuntungan, anda perlu memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan.

Salah satu cara untuk mengurangkan perbelanjaan adalah dengan memulakan perniagaan tanpa modal seperti dropship atau afiliasi. Dengan cara ini, anda tidak perlu mengeluarkan modal untuk membeli dan menyimpan stok. Anda hanya mempromosikan pautan pembelian dan mendapat komisen daripada setiap pembelian yang berjaya melalui pautan anda.

#3. Rumus nilai bersih

Tidak hanya bergantung pada aliran tunai positif, anda juga perlu memastikan nilai bersih anda positif.

Rumus nilai bersih = Aset – Liabiliti

Dengan memahami ini, anda akan mencuba untuk mengelakkan pembiayaan untuk memulakan perniagaan. Ini kerana semua pembiayaan termasuk dalam kategori liabiliti. Selagi liabiliti lebih tinggi daripada aset yang anda ada, perniagaan akan berada dalam keadaan negatif.

Jadi, sama ada dalam perniagaan atau pengurusan kewangan peribadi, ingat untuk menambah aset yang boleh menghasilkan pendapatan. Ingat, pembiayaan dalam perniagaan biasanya untuk mengembangkan perniagaan. Jadi, jika baru memulakan, elakkan keinginan untuk berhutang.

Jangan lupakan juga perlindungan kewangan anda di saat sukar nanti. Ayuh dapatkan Kad Perubatan PruBSN dan pelan Hibah Takaful PruBSN, pelan kad perubatan dan hibah terbaik yang direka khusus untuk anda. Klik link WhatsApp untuk berhubung dengan saya, Naim Fital, ejen takaful berpengalaman anda bagi khidmat nasihat berkaitan kad perubatan dan hibah takaful.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *