Ramai pencarum KWSP beranggapan bahawa simpanan KWSP hanya boleh dikeluarkan untuk tujuan membiayai sebahagian daripada kos untuk membeli rumah, tetapi sebenarnya terdapat beberapa sebab lain yang membolehkan anda untuk mengeluarkan simpanan KWSP anda, termasuk untuk tujuan pendidikan, penjagaan kesihatan, dan sebagainya. Secara umumnya, KWSP membenarkan ahli-ahli untuk membuat pengeluaran sepenuhnya atau sebahagian daripada simpanan anda, untuk membantu anda bersedia untuk persaraan yang lebih selesa. Pengeluaran ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu pengeluaran sebahagian atau pengeluaran penuh daripada simpanan KWSP. Penulisan ini akan merungkai apakah sebab yang membolehkan anda untuk mempertimbangkan pengeluaran KWSP.
Pengeluaran Penuh Simpanan KWSP
Pengeluaran penuh simpanan KWSP kebiasaanya dibenarkan untuk pencarum yang telah mencapai umur persaraan iaitu 55 tahun ke atas. Anda mempunyai pilihan untuk menguruskan wang persaraan anda sama ada dengan membuat pengeluaran penuh atau pengeluaran fleksibel. Selain daripada itu, anda juga boleh mempertimbangkan untuk membuat pengeluaran penuh dalam situasi berikut:
1. Pekerja Berpencen atau Persaraan Pilihan
Pekerja sektor awam boleh membuat pengeluaran KWSP sekali sahaja sebelum umur 55 tahun setelah diberikan taraf Pekerja Berpencen.
2. Hilang Upaya
Pengeluaran semua simpanan KWSP juga boleh dilakukan sekiranya anda hilang keupayaan fizikal atau mental sehingga menghalang anda untuk bekerja. Bagi ahli yang layak, anda akan menerima RM5,000 sebagai Bantuan Hilang Upaya untuk meringankan beban anda.
3. Meninggalkan Negara
Ahli yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan Malaysia untuk berhijrah ke negara lain atau ekspatriat, penduduk tetap (PR) atau pekerja asing yang kembali ke negara asal boleh mengeluarkan kesemua simpanan KWSP.
4. Kematian
Sekiranya anda meninggal dunia, simpanan KWSP anda boleh digunakan untuk membantu meringankan beban kewangan serta menampung perbelanjaan pengurusan pengebumian. Sekiranya anda masih belum membuat penamaan, anda digalakkan untuk berbuat sedemikian. Ia bagi membolehkan waris terdekat anda mengeluarkan simpanan KWSP tanpa sebarang kesulitan. Ahli keluarga yang di bawah tanggungan anda juga akan dipertimbangkan untuk menerima bayaran Bantuan Kematian bagi membantu mereka dalam waktu kesulitan.
Baca: Hibah Takaful dan Caruman KWSP
5. Umur 60 Tahun
Pengeluaran ini merupakan lanjutan daripada pengeluaran umur 55 tahun. Ia bagi memenuhi keperluan ahli yang memilih untuk melanjutkan umur persaraan dan sambung bekerja selepas umur 55 tahun. Pada umur 60 tahun, kesemua simpanan yang terkumpul dalam Akaun 55 (jika ada) dan Akaun Emas akan digabungkan untuk pengeluaran. Anda boleh memilih untuk membuat pengeluaran secara sekali gus atau sebahagian pada bila-bila masa untuk membiayai persaraan anda.
Pengeluaran Sebahagian Simpanan KWSP
Pengeluaran ini dibenarkan untuk pencarum yang berumur 55 tahun ke bawah daripada Akaun 2 KWSP anda. Antara sebab pengeluaran yang boleh anda pertimbangkan adalah seperti berikut:
1. Simpanan Melebihi RM1 Juta
Jika anda mempunyai simpanan melebihi RM1 juta, anda diberi kelonggaran untuk membuat pengeluaran dan menguruskan sendiri lebihan simpanan. Dengan cara ini, anda boleh memilih dan mempelbagaikan portfolio pelaburan mengikut penilaian risiko anda sendiri.
2. Mengurangkan atau Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan
Anda juga boleh membuat pengeluaran KWSP daripada Akaun 2 bagi mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan anda atau pasangan.
3. Beli dan Bina Rumah
KWSP juga turut membenarkan pengeluaran Akaun 2 untuk membiayai pembelian rumah. Keputusan ini bagi membolehkan ahli membeli hartanah bagi merealisasikan persaraan yang lebih selesa. Selain itu, jika anda ingin membina sendiri rumah impian anda, KWSP juga membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai pembinaan rumah.
4. Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
Bagi membantu meringankan beban pemilik rumah, KWSP turut membenarkan Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan. Ia bagi membantu pemilik rumah yang berdepan masalah kewangan membayar ansuran bulanan. Ansuran bulanan pinjaman perumahan ini akan dibayar sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan atau sehingga masalah kewangan selesai.
5. Perumahan Fleksibel
Anda boleh menggunakan simpanan KWSP untuk mendapat kelayakan pinjaman perumahan yang lebih tinggi daripada institusi kewangan. Sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 2 akan diketepikan untuk Akaun Pinjaman Perumahan Fleksibel. Semasa penilaian kelayakan pinjaman dibuat, institusi kewangan akan mengira caruman bulanan KWSP anda sebagai sebahagian daripada pendapatan.
6. Pengeluaran Umur 50
Apabila mencapai umur 50 tahun, anda boleh membuat pengeluaran KWSP sama ada sebahagian atau kesemua simpanan daripada Akaun 2. Wang yang dikeluarkan ini boleh digunakan sebagai persediaan untuk persaraan anda.
7. Pendidikan
Anda juga boleh memilih untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun 2 bagi membiayai pendidikan tinggi anda, pasangan (suami atau isteri), anak-anak dan/ atau ibu bapa. Namun begitu, ia tertakluk pada institusi pendidikan dalam dan luar negara yang diluluskan sahaja. Anda boleh keluarkan kesemua simpanan dalam Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah) untuk membiayai kos jumlah yuran pengajian dan caj yang dikenakan oleh institusi pengajian, jumlah baki pinjaman pendidikan, yuran hostel dan penginapan, atau kos penerbangan sehala untuk pelajar tahun pertama yang belajar di luar kawasan/luar negara.
8. Kesihatan
Kos penjagaan kesihatan boleh dikatakan agak mahal dan boleh menelan belanja yang tinggi. KWSP membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesihatan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2. Pengeluaran KWSP ini boleh digunakan bagi membiayai kos perubatan penyakit kritikal dan/atau peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan termasuk rawatan kesuburan.
Bagi mengelakkan pengeluaran simpanan jangka panjang anda ini, anda boleh mulakan perancangan perlindungan keluarga termasuk anak-anak anda melalui Kad Perubatan PruBSN dan pelan Hibah Takaful PruBSN, pelan kad perubatan dan hibah terbaik yang direka khusus untuk anda. Klik link WhatsApp untuk berhubung dengan saya, Naim Fital, ejen takaful berpengalaman anda bagi khidmat nasihat berkaitan kad perubatan dan hibah takaful.