Wajarkah Anda Menjamin Pinjaman?

Anda mungkin pernah berdepan situasi kawan atau ahli keluarga meminta anda untuk menjadi penjamin pinjaman yang mereka lakukan. Secara asasnya, penjamin dalam istilah kewangan adalah seseorang individu yang berjanji untuk membayar baki hutang peminjam sekiranya peminjam tersebut gagal untuk memenuhi tanggungjawab pinjaman mereka. Dalam sesetengah kes, seorang penjamin juga boleh mengisytiharkan aset (tanah/rumah) mereka sebagai cagaran untuk pinjaman tersebut.

Sekiranya seseorang individu ingin memohon pinjaman, sama ada pinjaman peribadi , pinjaman rumah, pinjaman kereta dan sebagainya, pihak pemberi pinjaman iaitu institusi kewangan (bank/koperasi/kredit komuniti) boleh meminta pemohon menyediakan penjamin. Situasi ini berlaku apabila peminjam tidak memenuhi kelayakan untuk mohon, atau kelayakan mereka tidak cukup kuat untuk meluluskan permohonan pinjaman tersebut. Contohnya individu baru bekerja dan ingin buat pinjaman untuk membeli kereta pertama mereka.

Permohonan pinjaman juga boleh memerlukan penjamin sekiranya jumlah pinjaman dimohon adalah terlalu tinggi dan melebihi jumlah dibenarkan. Oleh kerana pemiutang iaitu pihak institusi kewangan yang berkaitan tidak mahu menanggung risiko peminjam gagal buat bayaran, mereka memerlukan penjamin untuk memastikan tiada risiko perlu ditanggung sekiranya situasi ini berlaku. Sebelum anda menandatangani apa-apa dokumen pinjaman, penting untuk anda ketahui tanggungjawab sebagai penjamin, syarat penjamin pinjaman dan perkara-perkara lain berkaitan penjamin pinjaman.

1. Jenis Penjamin Pinjaman

Penjamin pinjaman terbahagi kepada dua kategori – penjamin pinjaman sosial dan penjamin pinjaman bukan sosial. Berikut panduan untuk membantu anda memahami perbezaan kedua-dua kategori ini:

Penjamin Sosial

Penjamin sosial merujuk pada individu yang memberi jaminan kepada peminjam bukan untuk tujuan keuntungan atau komersial. Sebagai contoh, anda menjadi penjamin untuk menolong ahli keluarga atau kawan tanpa kepentingan kewangan atau tujuan keuntungan seperti beli kereta, beli rumah atau mendapatkan biasiswa. Akta Kebankrapan 1967 telah memberikan perlindungan mutlak kepada penjamin sosial (yang mana, tindakan kebankrapan tidak boleh diambil). Hal ini demikian kerana, penjamin sosial tidak mendapat sebarang keuntungan atau faedah daripada pinjaman yang dibuat oleh peminjam 

Penjamin Bukan Sosial

Penjamin bukan sosial pula merujuk pada kategori selain penjamin sosial yang dinyatakan di atas. Biasanya, ia melibatkan pinjaman dengan kepentingan keuntungan seperti pinjaman peribadi, pinjaman komersial atau penjamin pinjaman perniagaan.

Gambar Ehsan: Gan and Zul Adv. & Sol.

2. Hak Sebagai Penjamin Pinjaman

Jika anda bersetuju untuk menjadi penjamin bagi apa-apa pinjaman bank, anda mempunyai hak-hak tertentu sebagai penjamin pinjaman. Hak ini berperanan dalam melindungi penjamin dan mengelakkan anda daripada berdepan sebarang risiko kewangan.

Sebelum anda menandatangani sebarang kontrak jaminan, anda mempunyai hak untuk mendapatkan nasihat guaman sebelum menandatangani sebarang dokumen pinjaman. Walau bagaimanapun, kos atau fi guaman perlu ditanggung sendiri. Selain itu juga, anda boleh memohon untuk mendapatkan salinan surat, kontrak jaminan atau apa-apa dokumen berkaitan pinjaman daripada institusi kewangan.

Selepas anda menandatangani kontrak jaminan, anda mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan akaun pinjaman seperti baki tertunggak daripada institusi kewangan dengan kebenaran daripada peminjam. Selain itu juga, anda juga boleh meminta peminjam untuk buat bayaran balik hutang pinjaman seperti dijadualkan. Namun begitu, ia tertakluk kepada syarat pinjaman. Anda perlu menggunakan hak ini sebelum institusi kewangan mengeluarkan notis tuntutan pinjaman. Paling penting, anda mempunyai hak untuk menuntut bayaran ganti rugi daripada peminjam bagi apa-apa kos yang telah dikeluarkan kepada pemiutang termasuk kos guaman. Dalam erti kata lain, anda boleh tuntut daripada peminjam apa-apa jumlah yang telah anda bayar menggunakan duit anda.

Gambar Ehsan: Pinterest

3. Syarat Penjamin Pinjaman

Seperti dinyatakan di atas, tidak semua individu layak atau boleh menjadi penjamin. Namun secara ringkasnya, anda perlu mematuhi syarat kelayakan atau syarat penjamin pinjaman yang ditetapkan oleh pihak bank. Biasanya, pihak bank menetapkan syarat penjamin pinjaman asas seperti berikut:

– Berumur 18 tahun ke atas;

– Berfikiran waras dan berkeupayaan (dari segi mental) untuk memahami tanggungjawab, dokumen penjamin dan tanggungjawab sebagai penjamin;

– Tidak dipaksa untuk menjadi penjamin. Ini bermakna, anda bersetuju secara sukarela tanpa paksaan, penipuan atau kesilapan; dan

– Tidak berstatus muflis.

Namun begitu, meskipun anda memenuhi kesemua syarat penjamin pinjaman, ini tidak bermaksud pihak institusi kewangan akan meluluskan semua permohonan anda sebagai penjamin pinjaman. Pihak bank masih akan menilai faktor-faktor tambahan lain seperti jumlah pendapatan, komitmen bulanan, rekod dan sejarah kredit dan lain-lain. Jika penjamin pinjaman mempunyai komitmen hutang yang tinggi atau tidak mempunyai apa-apa aset untuk dicagarkan, besar kemungkinan permohonan untuk menjadi penjamin pinjaman akan ditolak.

Gambar Ehsan: Freepik

4. Risiko sebagai Penjamin

Banyak risiko perlu anda tanggung jika anda pilih untuk jadi penjamin. Malah dalam sesetengah situasi, risiko yang perlu anda tanggung lebih daripada yang ditanggung oleh peminjam itu sendiri. Risiko yang paling utama adalah jika peminjam tidak dapat membayar balik hutang pinjaman tersebut, sudah pasti anda yang kena bayar pinjaman tersebut. Risiko-risiko lain termasuk:

– Kesan Kepada Rekod Dan Skor Kredit

Menjadi penjamin akan memberikan kesan kepada rekod CCRIS dan CTOS dan ramai yang tidak tahu mengenai perkara ni. Walaupun anda tidak ada rekod pinjaman, nama anda akan dimasukkan dalam rekod kredit CCRIS anda sebaik sahaja anda bersetuju jadi penjamin. Ini bermakna, liabiliti anda sebagai penjamin akan dikira sebagai komitmen anda dalam CCRIS dan CTOS.

Kesan kepada sejarah kredit ini akan anda rasa apabila anda ingin mohon pinjaman bank atau kad kredit. Pihak institusi kewangan mungkin sukar untuk meluluskan permohonan pinjaman anda selepas mengambil kira komitmen anda sebagai penjamin.

Dalam sesetengah kes, walaupun permohonan yang dimohon lulus, pihak institusi kewangan akan mengenakan caj kadar faedah yang lebih tinggi berbanding biasa. Ini bukan hanya untuk pinjaman peribadi, tetapi juga untuk pinjaman kereta dan perumahan.

– Aset Boleh Disita

Kegagalan anda untuk membayar balik hutang sebagai penjamin mungkin menyebabkan pihak pemiutang seperti bank menyita aset-aset anda untuk menyelesaikan baki pinjaman. Tetapi, ini adalah kes serius dan perlu melalui beberapa proses undang-undang sebelum pihak institusi kewangan boleh merampas aset penjamin.

– Terikat Dengan Hutang Pinjaman

Perceraian, putus kawan, dan kematian adalah antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan penjamin menanggung hutang pinjaman. Jika ini berlaku, anda terikat dengan pinjaman tersebut dan terpaksa menanggung kos untuk buat bayaran balik.

Anda mungkin boleh berbincang dengan pihak institusi kewangan dan memohon untuk membatalkan diri sebagai penjamin. Namun demikian, kata putus sepenuhnya adalah bergantung kepada pihak institusi.

– Risiko Muflis

Penjamin bukan sosial atau penjamin biasa masih menanggung risiko untuk diisytihar bankrap jika peminjam tidak mampu bayar balik pinjaman. Cuma, proses untuk memulakan tindakan kebankrapan terhadap penjamin kini adalah lebih sukar berbanding sebelum ini.

Selain itu, bank perlu buktikan yang mereka telah melakukan usaha untuk mengutip hutang daripada peminjam terlebih dahulu, dan perlu menunggu sekurang-kurangnya 6 tahun selepas tarikh hantar tuntutan pertama terhadap penjamin tersebut.

Banyak kekangan sekiranya anda di isytihar bankrap. Selepas anda muflis, kesemua aset anda akan berada di bawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). Anda juga tidak boleh bebas bergerak ke luar negara tanpa kebenaran bertulis daripada KPI. Tambahan pula, akaun bank anda akan dinyahaktif, dan anda tidak boleh buat pengeluaran wang yang lebih. Anda juga dihadkan dalam menggunakan kad kredit – tidak boleh berbelanja lebih daripada RM1,000.

Bidang pekerjaan juga dihadkan. Anda tidak boleh bekerja dalam profesion yang mempunyai sekatan oleh persatuan profesional atau pihak berkuasa. Penting juga untuk diingat, walaupun penjamin sosial tidak boleh diisytiharkan muflis, mereka masih terikat dengan perlaksanaan undang-undang lain seperti Writ or Seizure and Sale (WSS), Orang Digarnis (Garnishee Proceeding), dan Saman Penghutang Kehakiman.

Oleh sebab itu, anda perlu fikir dengan teliti sebelum bersetuju untuk menjadi penjamin pinjaman meskipun anda melepasi syarat penjamin pinjaman yang ditetapkan. Anda ingin memulakan perancangan perlindungan keluarga termasuk anak-anak anda melalui Kad Perubatan PruBSN dan pelan Hibah Takaful PruBSN, pelan kad perubatan dan hibah terbaik yang direka khusus untuk anda? Klik link WhatsApp untuk berhubung dengan saya, Naim Fital, ejen takaful berpengalaman anda bagi khidmat nasihat berkaitan kad perubatan dan hibah takaful.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *