Benarkah Takaful Islamik?

Soalan ini sering diajukan oleh bakal-bakal klien saya apabila saya membentangkan cadangan polisi saya kepada mereka. Soalan ini soalan yang wajar memandangkan kebanyakan orang selalu keliru tentang perbezaan antara Takaful dan Insurans. Saya telah menulis lanjut soal perbezaan antara dua produk yang ibarat pelanduk dua serupa ini terutamanya daripada aspek akad dan tabung tabarru’ dalam penulisan saya sebelum ini.

Baca: Apa Beza Takaful & Insurans?

Artikel kali ini akan menerangkan dengan lebih lanjut apakah langkah-langkah kawalan di bawah undang-undang untuk insitusi kewangan memastikan produk-produk yang ditawarkan oleh mereka patuh syariah. Untuk makluman semua, semua instrumen kewangan yang patuh syariah termasuk perbankan Islam dan sukuk adalah dikawal selia dengan ketat.

Gambar Ehsan: DDI

Secara umumnya, sektor takaful dan perbankan Islam dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia manakala sektor pasaran modal Islam seperti sukuk dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Kedua-dua badan regulatori ini telah memperkenalkan pelbagai rangka kerja pengawalseliaan dan penyeliaan bagi mengekalkan kestabilan kewangan dan dalam konteks kewangan Islam, memastikan produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi yang berada di bawah kawal selia masing-masing bukan sahaja berdaya saing tetapi selari dengan ketetapan dan prinsip syariah.

Jawatankuasa Syariah

Sebelum ini, industri takaful dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Takaful 1984. Mengambil kira faktor peredaran zaman, perkembangan teknologi dan penawaran pelbagai medium, Parlimen Malaysia pada tahun 2013 telah memperkenalkan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI 2013) yang berfungsi sebagai undang-undang utama bagi mengawalselia sektor perbankan Islam dan takaful di Malaysia.

APKI 2013 memperuntukkan bahagian khas yang berkaitan dengan kehendak syariah iaitu pada Bahagian IV yang merangkumi pematuhan syariah dan tadbir urus syariah. Antara perkara berkaitan tadbir urus syariah yang dinyatakan adalah berkenaan penubuhan sebuah jawatankuasa syariah di bawah Seksyen 30. Fungsinya adalah untuk menasihati pengendali takaful berkenaan bagi memastikan perniagaan, hal ehwal dan aktiviti yang dijalankan mematuhi syariah.

Tugas-tugas Jawatankuasa Syariah telah diperincikan dalam Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah 2019 yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu:

– Memberikan keputusan atau nasihat kepada pengendali takaful mengenai pelaksanaan sebarang keputusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) atau standard syariah yang diaplikasi dalam operasi, perniagaan, urusan dan aktiviti pengendali takaful;

– Memberikan keputusan atau nasihat mengenai hal-hal yang memerlukan rujukan dibuat kepada MPS;

– Memberikan keputusan atau nasihat berhubung operasi, perniagaan, urusan dan aktiviti pengendali takaful yang boleh mencetuskan situasi ketidakpatuhan syariah;

– Menimbang serta mengesahkan penemuan unsur ketidakpatuhan syariah oleh mana-mana pihak yang mempunyai fungsi yang berkaitan; dan

– Mengesahkan langkah pembetulan dalam menangani situasi ketidakpatuhan syariah.

Jawatankuasa Syariah PRUBSN setakat Ogos 2023.

Majlis Penasihat Syariah

Di peringkat Bank Negara Malaysia pula, pengawalseliaan hukum-hakam Islam bagi produk kewangan Islam diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Penasihat Syariah yang ditubuhkan pada bulan Mei 1997 di bawah Seksyen 51 Akta Bank Negara Malaysia 2009 (ABNM 2009) dan telah diangkat sebagai pihak berkuasa tertinggi dalam kewangan dan perbankan Islam di Malaysia.

MPS adalah pihak berkuasa bagi penentuan hukum Syarak bagi kewangan dan perbankan Islam. MPS akan memastikan pentadbiran dan perjalanan institusi kewangan dan perbankan Islam termasuk pengendali takaful tidak melanggar prinsip hukum Syarak dan syariat Islam.

Kuasa dan tanggungjawab amat besar diletakkan kepada MPS apabila Seksyen 56 dan 57 ABNM 2009 menyatakan bahawa mahkamah dan penimbang tara adalah dikehendaki merujuk kepada keputusan MPS bagi mana-mana prosiding yang berkaitan dengan kewangan dan perbankan Islam dan keputusan tersebut hendaklah mengikat.

Gambar Ehsan: DagangNews

Malah, Seksyen 58 ABNM 2009 juga turut memperuntukkan bahawa jika ada percanggahan keputusan antara badan atau jawatakuasa Syariah dengan keputusan yang dikeluarkan MPS, keputusan MPS hendaklah berkuatkuasa dan mendahui (take precedent). Ahli-ahli MPS ini juga bukan calang-calang orang kerana mereka adalah individu berkelayakan, cekap dan terkemuka dalam kalangan ulama Syariah dan ahli undang-undang dan mesti mempunyai pengalaman luas dalam sektor kewangan Islam. Mandat pelantikan mereka ini juga adalah daripada Yang di-Pertuan Agong yang merupakan tunjang agama Islam di Malaysia.

Jadi, jangan risau produk kewangan Islam anda terutatamanya takaful adalah dijamin patuh syariah dengan kewujudan mekanisme dan lapisan kawalan undang-undang iaitu Jawatankuasa Syariah dan MPS ini. Ayuh mulakan perancangan masa depan anda hari ini melalui Kad Perubatan PruBSN dan pelan Hibah Takaful PruBSN, pelan kad perubatan dan hibah terbaik yang direka khusus untuk anda. Klik link WhatsApp untuk berhubung dengan saya, Naim Fital, ejen takaful berpengalaman anda bagi khidmat nasihat berkaitan kad perubatan dan hibah takaful.

Wallahualam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *