Semua orang yang sedang bekerja, pernah bekerja atau akan bekerja pasti pernah dengar tentang KWSP atau juga dikenali sebagai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Buat yang tidak tahu KWSP ini sebenarnya adalah sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan oleh kerajaan di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452).
Secara mudahnya, KWSP ini merupakan tabung persaraan anda di usia tua, dan semua orang yang bekerja sama ada secara tetap atau kontrak adalah diwajibkan mencarum KWSP dengan kaedah potongan gaji. Malah, majikan anda juga adalah diwajibkan membayar bahagian caruman mereka bagi manfaat anda.
Baca: Hibah Takaful dan Caruman KWSP
Apa yang KWSP buat sebenarnya? Senang cerita, duit caruman anda setiap bulan tersebut akan dilaburkan oleh KWSP dengan tujuan memperoleh keuntungan (secara konvensional atau patuh syariah, tertakluk kepada skim pilihan anda). Mereka akan membuat penilaian pasaran dan kemudian membuat keputusan pelaburan berdasarkan penilaian tersebut. Hasil keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan ini akan diagihkan kepada anda semua melalui kaedah dividen.
Baru baru ini KWSP telah mengumumkan berita baik buat para pencarumnya apabila KWSP berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh pertama 2023, peningkatan sebanyak RM9.44 billion berbanding RM23.75 billion pada tempoh yang sama pada 2022.
Menurut KWSP, peningkatan lebih 40% ini dijana daripada ‘mark-to-market’ (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan ini diperoleh daripada turun naik kadar tukaran matawang asing. Selain itu juga, pertumbuhan positif pasaran ekuiti global turut menyumbang kepada peningkatan ini.
Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams berkata keputusan separuh pertama 2023 KWSP adalah sangat kukuh, gabungan pengurusan mantap, hasil pulangan permodalan pantas dan beberapa pelarasan teknikal yang berkesan.
Tahukah anda, setakat Disember 2022, KWSP merekodkan ahli berjumlah 15.72 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak 8.39 juta adalah ahli aktif, yang mewakili 50% daripada 16.7 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2022. Jumlah ini meningkat kepada 8.47 juta ahli aktif, paras tertinggi setakat separuh pertama 2023.
Berdasarkan pendapat dan ramalan golongan bijak pandai ekonomi tersebut, ditambah dengan keupayaan pasaran semasa, tidak mustahil tahun ini anda semua, daripada sejumlah besar pencarum-pencarum KWSP ini dijangka akan memperoleh dividen lebih baik daripada 5.35 peratus pada 2022.
Tetapi harus diingat, KWSP walaupun adalah duit milik anda, ianya masih lagi dikawal dan tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya. Berdasarkan polisi KWSP, sekiranya anda sakit dan perlu dana tambahan untuk menampung kos perubatan, anda hanya boleh mengeluarkan jumlah kos rawatan sebenar atau keseluruhan simpanan dalam Akaun 2 sahaja (mana yang lebih rendah).
Eh, apa pula bezanya akaun 1 dan 2 KWSP ini? Apabila majikan anda membayar caruman mereka & anda bagi manfaat anda setiap bulan, wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun 1 dan akaun 2 dengan nisbah 70:30.
Sebagai contoh, bagi jumlah caruman bulanan RM 1,000 (bahagian pekerja + bahagian majikan), RM700 akan diletakkan dalam akaun 1, manakala baki RM300 akan diletakkan dalam akaun 2.
Maknanya, jika pada usia anda 40 tahun dengan jumlah caruman dan dividen terkumpul sebanyak RM500,000, dan tiba-tiba anda perlu keluarkan KWSP untuk tampung kos perubatan anda. Anda hanya boleh keluarkan maksimum RM150,000 daripada akaun 2 anda sahaja.
Jadi bagaimana jika kos perubatan anda lebih daripada jumlah tersebut? Penyelesaiannya adalah dengan ambil takaful perubatan (medical card) daripada usia muda lagi untuk perlindungan anda di hari tua nanti.
Baca: Kad Perubatan (Medical Card): Satu Keperluan?