Baru baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia dalam Indeks Harga Pengguna Julai 2023 melaporkan bahawa kadar inflasi di Malaysia mereda kepada 2.0%, iaitu yang terendah pada tahun ini. Penyederhanaan inflasi itu disumbangkan oleh peningkatan lebih rendah bagi kebanyakan kumpulan, antaranya makanan dan minuman bukan alkohol yang naik 4.4% berbanding 4.7% pada Jun.
Berita ini membuatkan ramai tertanya tanya, apakah itu inflasi dan bagaimana inflasi boleh memberi kesan kepada kehidupan seharian kita. Penulisan ini akan merungkai persoalan tersebut.
Apa itu Inflasi?
Menurut Utusan Malaysia, inflasi merupakan kenaikan harga yang berlaku bagi barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu. Kadar inflasi lazimnya diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan harga item-item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa.
Pemilihan item dalam bakul barangan dan perkhidmatan ini pula adalah berasaskan kepada nilai penggunaan yang diperolehi melalui Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dilaksanakan dua kali dalam tempoh lima tahun.
Spesifikasi bagi setiap item barangan dan perkhidmatan akan dikelaskan kepada setiap kelas perbelanjaan dan kemudian disusun mengikut subkumpulan barangan dan perkhidmatan. Subkumpulan ini kemudian dikategorikan kepada kumpulan utama.
Hari ini terdapat 12 kumpulan utama Indeks Harga Pengguna yang merangkumi kumpulan seperti makanan & minuman bukan beralkohol, kesihatan, pendidikan, komunikasi, pakaian dan kasut dan pengangkutan.
Sebagai contoh, dahulu anda boleh mendapatkan roti canai di kedai mamak dengan harga 50 sen sekeping tetapi kenaikan kadar inflasi yang didorong oleh kenaikan harga barangan menyebabkan harga roti canai di kedai mamak melambung kepada RM 1.20 dalam tempoh 5 tahun kebelangan ini.
Salah satu contoh ekstrem yang lain ialah negara Zimbabwe di mana pada tahun 2004 hingga 2008, ia telah mengalami kadar inflasi sebanyak 79,600,000,000 peratus sehinggakan pada November 2008 sahaja harga barangan meningkat setiap beberapa jam. Hal ini demikian kerana bank pusat Zimbabwe telah mencetak wang dengan banyak untuk membantu kerajaan Zimbabwe menyelesaikan masalah hutang kerajaan.
Kenaikan Kadar Inflasi: Baik atau Buruk?
Daripada sudut positif, inflasi dapat mengalakkan lebih ramai orang untuk menyimpan duit simpanan di bank berbanding belanja. Ini kerana biasanya pada ketika ini, kadar faedah simpanan yang ditawarkan bank komersial lebih tinggi dari kebiasannya.
Bagi penghutang pula, inflasi memberi kelebihan kepada mereka kerana kadar faedah pinjaman tidak berubah disebabkan jumlah hutang benar yang perlu dibayar balik telah berkurang.
Walaubagaimanapun, kenaikan ini akan menyebabkan kuasa beli dikalangan pengguna menurun dan kos sara hidup dikalangan rakyat Malaysia terutamanya dikalangan B40 akan terjejas teruk. Bahkan, bagi individu yang memiliki pendapatan tetap serta penerima pencen, kos sara hidup menjadi semakin tinggi sekali gus akan membebankan taraf kebajikan mereka.
Inflasi yang tidak terkawal boleh menyebabkan ketidakstabilan ekonomi sesebuah negara. Kenaikan harga secara tiba-tiba dan besar-besaran boleh mengganggu aktiviti perniagaan dan pelaburan. Ini boleh menjurus kepada pengurangan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pengangguran. Inflasi akan menurunkan nilai mata wang negara dan menyebabkan pengaliran modal jangka pendek ke luar negara. Keadaan ini juga secara tidak langsung akan memburukkan imbangan pembayaran negara.
Dalam jangka masa panjang, inflasi juga berupaya merosakkan nilai simpanan. Duit yang disimpan dalam bentuk wang tunai atau deposit mungkin akan kehilangan nilai seiring dengan peningkatan inflasi. Ini boleh menggalakkan orang untuk melabur atau menghabiskan wang mereka lebih cepat.
Jelaslah, kenaikan kadar inflasi & penurunannya melalui proses deflasi memberikan kesan kepada turun naik harga barangan dan perkhidmatan yang kita perolehi. Pemahaman asas dan teori ekonomi ini penting untuk kita sebagai salah seorang pengguna yang bijak dalam membuat apa-apa keputusan ekonomi.
Jangan lupakan juga perlindungan masa depan kita melalui takaful. Ayuh dapatkan Kad Perubatan PruBSN dan pelanHibah Takaful PruBSN, pelan kad perubatan dan hibah terbaik yang direka khusus untuk anda. Klik link WhatsApp untuk berhubung dengan saya, Naim Fital, ejen takaful berpengalaman anda bagi khidmat nasihat berkaitan kad perubatan dan hibah takaful.