Apa Beza Takaful & Insurans?

 

 

Assalamualaikum,

Apakah Beza Takaful & Insurans?

Sepanjang saya menjadi Ejen Takaful, ini adalah soalan paling banyak orang tanya. Walaupun Takaful dah ada di Malaysia since 2006, tapi masih ramai yang belum dapat membezakan kedua-dua perkara ini dengan betul. Takaful dan Insurans pada dasarnya nampak seperti sama, namun banyak perbezaannya. Pertama, anda kena betul-betul jelas dan faham bahawa Takaful adalah satu konsep Insurans Patuh Syariah. Bila dengar orang cakap Takaful, okayh tak perlu fikir panjang-panjang, cuma perlu semat dalam kepala “its a shariah compliance Insurance”. Thats it.

 

Adakah Takaful juga merupakan Insurans?

Ya betul, dari segi fungsi, ia adalah Insurans juga. Sebab itu di dalam Bahasa Inggeris, walaupun anda mempunyai plan Takaful, ia tetap akan disebut sebagai Insurance kerana fungsinya adalah untuk insured pelanggan. Kedua-dua Takaful dan Insurans menawarkan plan-plan perlindungan yang sama iaitu perlindungan kesihatan, perlindungan hayat, perlindungan pendapatan, perlindungan bencana, perlidungan kemalangan, perlindungan kenderaan, dan perlindungan sakit kritikal.

Namun, di Malaysia, untuk membezakan samaada sesuatu plan insurans itu patuh syariah atau tidak, maka terma Takaful telah digunakan secara rasmi untuk merujuk kepada Insurans patuh syariah (Shariah Compliance Insurance).  Manakala Insurans yang tidak patuh syariah pula akan kekal menggunakan termadologi Insurans atau disebut juga sebagai Insurans Konventional. Perbezaan terma ini bukanlah direka-reka namun ia sememangnya digunakan secara rasmi di dalam Akta, Polisi, Perjanjian dan juga urusan surat-menyurat rasmi.

So whenever your policy ada perkataan Takaful, you shouldn’t be worry sebab you sudah pun memiliki Insurans Patuh Syariah. Sebaliknya, jika polisi yang anda miliki tidak langsung tertera perkataan Takaful tetapi menggunakan perkataan “Insurans”, maka ketahuilah bahawa anda sedang memiliki plan Insurans yang tidak patuh Shariah dan hukum memilikinya adalah haram di sisi syarak.

Baik, setelah dapat membezakan kedua-dua terma ini, saya akan pergi lebih khusus kepada keadaan yang menjadikan sesuatu Insurans itu patuh syariah dan tidak patuh syariah.  Sebelum sesuatu Insurans itu boleh dikira patuh Syariah (yang mana kita panggil sebagai Takaful), maka perlulah ia memenuhi syarat-syarat Muamalat Islam. Apakah syarat paling utama di dalam Muamalat Islam? Syarat utamanya adalah menghalalkan Jual Beli dan mengharamkan Riba.

Adakah Insurans Konventional menjadi haram kerana wujudnya Riba?

Jawapannya, ya.  Itu lah alasan dan sebab mengapa Insurans Konventional dihukum sebagai haram oleh jumhur ulama. Di dalam transaksi pemilikan Insurans Konventional, akad yang digunapakai adalah akad jual beli dimana, seseorang yang hendak memiliki Insurans mestilah membeli insurans tersebut daripada syarikat Insurans. Hal ini kerana, di dalam Insurans Konventional, syarikat Insurans adalah penanggung tunggal risiko. Maka seseorang yang ingin mendapat tanggungan tersebut hendaklah membeli polisi insurans daripada syarikat tersebut. Justeru, transaksi pemilikan insurans dariada syarikat insurans adalah berasaskan kepada konsep jual beli.

Untuk menentukan sesuatu jual beli itu mempunyai riba atau tidak, ia hendaklah merujuk kepada jumlah yang dibayar (dibeli) dan jumlah yang diterima daripada pembelian tersebut. Muamalat Islam menetapkan (dengan mengambil hukum emas), apabila duit hendak dibalas dengan duit, maka jumlah nya mestilah pada kadar yang sama. Jika jumlah duit yang dibayar (dibeli) lebih rendah berbanding jumlah duit yang diterima, maka ia jatuh bawah kategori riba, dan hukumnya adalah haram.

Syarat inilah yang tidak dapat dipenuhi dalam transaksi jual beli Insurans Konventional. Bagaimana riba berlaku? Sebagai contoh, Ali membeli insurans daripada Syarikat Insurans A dengan bayaran RM 100 sebulan untuk mendapatkan pampasan wang sebanyak RM 500,000 sekiranya Ali meninggal dunia. Situasi ini jelas menunjukkan wujudnya riba pada transaksi tersebut kerana berbalik kepada kaedah asal, apabila duit dibeli dengan duit, jumlahnya mestilah pada kadar yang sama. Namun, apabila belian yang dibuat cuma RM100, sebaliknya duit yang diterima adalah sebanyak RM 500,000.00 maka, ia adalah satu transaksi yang jelas wujudnya riba, dan hukumnya adalah haram.

Bgaimana pula dengan Takaful? Bukankah ia juga satu jual beli ?

Jawapannya, tidak.

Dalam transaksi pemilikan Polisi Takaful, akad yang digunakan bukanlah akad jual beli. Sebaliknya akad yang diguna pakai adalah akad derma. Sebab itulah pelanggan Takaful akan dipanggil sebagai peserta atau penyumbang (contributor), dan bayaran bulanan dipanggil sumbangan (contribution). Maka, setiap peserta yang memasuki plan Takaful sebenarnya telah memasuki satu transaksi yang bersifat derma, dimana wang bayaran (sumbangan) tersebut akan masuk ke dalam satu tabung yang dipanggil sebagai tabung tabarru’.

Apakah itu tabung tabarru’?

Tabung Tabarru’ adalah satu tabung hasil bayaran Polisi Takaful daripada semua pelanggan (peserta) Takaful. Maksudnya, semua duit yang pelanggan bayar tersebut akan dimasukkan ke dalam satu tabung dan disitulah terkumpulnya duit untuk menanggung risiko semua pelanggan. Inilah yang dinamakan sebagai Takaful iaitu satu konsep bantu membantu dan tolong menolong. Bagaimana ia berlaku? Ia berlaku apabila semua peserta masing-masing bersetuju untuk membuat sumbangan bayaran bulanan, dan hasil daripada sumbangan tersebut akan digunakan untuk menampung sebarang tuntutan (claim) yang dibuat oleh mana-mana peserta takaful yang lain.

Misalnya seseorang yang membuat polisi Hibah Takaful perlu membuat sumbangan bulanan sebanyak RM100 dan mengikut kepada terma polisi, beliau akan meninggalkan pampasan kematian sebanyak RM350,000 sekiranya meninggal dunia. Setelah sebulan membayar polisi Hibah Takaful tersebut , beliau meninggal dunia. Maka, secara automatik, wang pampasan RM350,000 tersebut akan diberikan kepada penama kepada polisi tersebut. Soalnya dari mana wang RM350,000 tersebut diambil sedangkan sumbangan yang baru dibuat adalah RM100? Ia diambil dari Tabung Tabarru yang mana disitulah terdapatnya sejumlah wang yang terkumpul hasil daripada sumbangan semua peserta Takaful. Konsep inilah yang dinamakan konsep Takaful, iaitu bantu membantu dalam berkongsi risiko.

Analogi mudah untuk faham tentang Takaful adalah melihat kepada konsep Tabung Khairat Kematian. Kita lazim melihat di kampung-kampung dan surau wujudnya inisiatif penduduk untuk menggerakkan tabung khairat kematian. Apa tujuan adanya Tabung Khairat ni? Tujuannya hanya satu, iaitu untuk memastikan adanya satu dana untuk menguruskan hal ehwal kematian bagi setiap penyumbang dalam Tabung tersebut. Hanya mereka yang menyumbang sahaja yang layak mendapat wang daripada tabung tersebut untuk menguruskan jenazahnya kelak. Inilah yang dinamakan konsep bantu membantu (kafal) yang diadaptasi kemudiannya menjadi sebuah konsep Insurans Patuh Syariah dan dinamakan sebagai Takaful.

Kesimpulannya,

Kayu ukur terbesar yang menjadikan Insurans itu haram atau tidak bukanlah kerana namanya Insurans atau namanya Takaful tetapi ukurannya adalah pada wujudnya “akad” semasa transaksi berlaku. Jika akadnya adalah jual beli, maka ia adalah haram kerana duit yang diterima hasil pembelian insurans tersebut adalah lebih besar nilainya berbanding duit yang dibayar. Sebaliknya, jika akadnya adalah derma, maka ia tidak menjadi masalah disisi syarak kerana duit yang akan diterima kelak adalah hasil daripada Tabung yang disumbangkan oleh orang ramai yang mana kesemua mereka telah meniatkannya sebagai derma untuk digunakan oleh sesiapa sahaja yang menyumbang ke dalam tabung tersebut.

Persoalannya, siapa pula yang akan menentukan Akad Takaful itu bukan jual beli dan adalah sumbangan?

Jawapannya adalah panel penasihat syariah. Ya, di dalam Syarikat Takaful, wujudnya panel penasihat syariah dan mereka inilah yang akan menilai setiap terma dan syarat di dalam sesuatu plan & polisi yang diperkenalkan syarikat Takaful agar ia menjurus kepada konsep Tabarru, dan bukannya jual beli.

Sebab itulah wujudnya polisi yang seragam yang mana kesemua polisi tersebut telah ditapis dan dinilai oleh panel penasihat syariah sebelum ia boleh dipasarkan untuk disertai oleh orang ramai. Justeru, secara perundangannya, sesiapa sahaja yang memasuki plan Takaful telahpun melakukan transaksi derma dan bukanlah jual beli lantas terhindar daripada unsur riba.

Semoga perkongsian ini membawa 1000 manfaat buat kita semua. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan dan pertanyaan untuk diajukan, jangan malu untuk bertanyakan soalan di ruangan komen saya, atau whatsapp saya di talian yang tertera di website saya, atau hubungi saya di saluran media sosial saya.

Wallahualam.

Penulis : Naim Fital, MDRT

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *