Mitos Harta Pusaka

Setakat 30 November 2020, sebanyak RM418 juta dana tertangguh atau ‘wang menunggu dituntut’ (WMD) tersimpan di Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) membabitkan 38,439 kes. Jurucakap Amanah Raya menyatakan bahawa masalah pengagihan dana tertangguh atau WMD itu berlaku membabitkan beberapa faktor termasuk perbalahan yang berlaku antara penerima bahagian pusaka serta kes membabitkan kematian berlapis, sekali gus mengakibatkan harta berkenaan tidak dituntut dan diagihkan kepada penerima berhak.

Malah, Malaysia Now pada September 2022 turut melaporkan bahawa aset bernilai lebih kurang RM70 billion telah dibekukan setakat penghujung tahun 2020 kerana pemilikan harta yang belum diselesaikan oleh waris terutamanya harta tidak alih seperti rumah, bangunan dan tanah. Perunding Harta Pusaka, Azhar Abdul Samat berkata, berdasarkan data diperoleh, jumlah harta pusaka yang masih ‘tergantung’ semakin bertambah disebabkan kurangnya kesedaran dalam kalangan waris atau pentadbir harta.

Baca: Status Harta Sebelum dan Selepas Kematian

Sehubungan dengan itu, penulisan ini akan merungkai secara terus mitos yang menyelebungi pengurusan harta pusaka di Malaysia sekali gus membetulkan pemahaman rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam berkaitan pengurusan harta pusaka. 

Gambar Ehsan: Titiknol

Mitos 1: Penama ialah Pemilik

Caruman KWSP, simpanan Tabung Haji dan akaun bank membolehkan anda untuk menamakan seseorang waris sebagai “penama”. Yang menjadi masalah apabila kebanyakan anda keliru dan menganggap bahawa penama ini akan menjadi pewaris sebenar harta tersebut setelah kematian anda. Hal ini merupakan satu salah faham besar dalam kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam kerana penama hanyalah merupakan pengurus harta yang dilantik bagi membahagikan harta tersebut mengikut hukum dan aturan faraid.

Baca: Hibah Takaful dan Caruman KWSP

Tujuan sebenar menamakan penama adalah untuk memudahkan pengurusan harta pusaka tanpa perlu melalui proses mahkamah. Semasa memilih penama untuk harta anda, bijaklah dalam memilih seseorang yang anda percayai dan memiliki kebolehan untuk mengurus harta dengan baik.

Tips penting: Elakkanlah menamakan anak yang masih di bawah umur (di bawah 18 tahun) sebagai penama kerana ini boleh menyebabkan harta dibekukan sehingga anak tersebut mencapai usia 18 tahun sekaligus memperlahankan proses pembahagian harta pusaka.

Gambar Ehsan: Elite Financial Group

Mitos 2: Hibah Takaful ialah Hibah Harta Pusaka

Kebanyakan kita berpendapat bahawa hibah takaful merupakan penyelesaian kepada isu pengurusan harta pusaka. Ya, tetapi bukan untuk semua harta pusaka

Menurut portal Majlis Agama Islam Johor, harta pusaka adalah apa-apa jua harta yang ditinggalkan oleh si mati samada harta alih seperti wang atau tak alih seperti rumah yang si mati miliki semasa hayatnya. Ini termasuklah, semua harta si mati yang diperolehi secara halal, sewa yang belum dijelaskan kepada si mati, hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian, dividen / faedah yang terbit daripada harta si mati, simpanan KWSP si mati dan barang yang terbit selepas mati seseorang dari usaha si mati semasa hayatnya. Secara ringkasnya, harta pusaka merujuk kepada harta yang telah dikumpulkan oleh si mati semasa hidup, seperti rumah, simpanan, kenderaan, dan akaun KWSP. Harta pusaka ini perlu diurus melalui proses pembahagian mengikut hukum faraid seperti firman Allah dalam surah Al-Nisa’, ayat 11.

Hibah takaful pula sebenarnya berfungsi untuk membantu waris-waris yang dinamakan sebagai penerima hibah untuk menyara kehidupan mereka sementara harta pusaka si mati dibahagikan secara sewajarnya. Hal ini demikian kerana, harta yang telah diberi, dijual, diwakaf, dihibah atau dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya adalah tidak termasuk dalam definisi harta pusaka.

Baca: Hibah Takaful: Milik Siapa Sebenarnya?

Satu perkara penting yang perlu diingat adalah penerima hibah takaful tidak diwajibkan untuk menggunakan pampasan takaful tersebut untuk melunaskan hutang si mati atau untuk keperluan pembahagian harta pusaka. Hutang-hutang yang ditinggalkan oleh si mati perlu diselesaikan menggunakan harta pusaka sebelum harta itu boleh dibahagikan mengikut peraturan faraid.

Gambar Ehsan: Elaine Aisyah

Mitos 3: Wasiat Penyelesaian Terbaik Isu Harta Pusaka

Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam sering keliru dengan terma wasiat yang diguna pakai secara meluas. Wasiat adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya. 

Seorang Islam hanya boleh mewasiatkan satu pertiga (1/3) daripada harta bersihnya (selepas ditolak dengan hutang dan urusan jenazahnya) kepada bukan waris. Sekiranya pewasiat ingin mewasiatkan harta bersih tersebut kepada bukan waris melebihi 1/3 bahagian, maka pemberian tersebut perlu dipersetujui oleh semua waris.

Pemberian harta melalui wasiat kepada waris faraid (seperti anak atau isteri) dan pemberian tersebut tidak mengikut hukum faraid adalah dibenarkan dengan syarat perlaksanaan wasiat tersebut selepas kematian pewasiat mestilah dipersetujui oleh semua waris faraid. Hal ini demikian kerana, wasiat adalah bersifat pesanan atau hasrat pewasiat dan pelaksanaannya masih lagi tertakluk kepada hukum faraid di dalam Islam seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2, 2018 yang bersidang pada 20 April 2018.

Oleh yang demikian, perlu diingat bahawa wasiat adalah instrumen yang perlu dipersetujui oleh semua waris yang berhak menerima faraid daripada harta anda. Sekiranya ada walaupun seorang waris tidak bersetuju, maka ianya PERLU diagih mengikut hukum faraid.

Mulakan perancangan masa depan anda hari ini melalui Kad Perubatan PruBSN dan pelan Hibah Takaful PruBSN, pelan kad perubatan dan hibah terbaik yang direka khusus untuk anda. Klik link WhatsApp untuk berhubung dengan saya, Naim Fital, ejen takaful berpengalaman anda bagi khidmat nasihat berkaitan kad perubatan dan hibah takaful.

Wallahualam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *