Hutang merupakan salah satu perkara dalam kehidupan yang tidak dapat dielakkan, terutamanya dalam situasi di mana kos sara hidup tinggi, pendidikan yang mahal, krisis kewangan, perkembangan perniagaan, perolehan aset besar, atau peluang pelaburan yang memerlukan pengambilan hutang. Walaubagaimanapun, penting untuk mengurus hutang dengan bijak bagi mengelakkan kesan negatif jangka panjang ke atas kestabilan kewangan individu.
Namun yang demikian, adalah penting untuk mempertimbangkan akibat jangka panjang mengambil hutang. Hutang yang tidak dikendalikan dengan baik boleh menyebabkan beban kewangan yang besar dan menggugat kestabilan kewangan individu. Oleh itu, perancangan kewangan yang teliti, pengurusan hutang yang bijaksana, dan penekanan pada perbelanjaan mengikut kemampuan kewangan anda merupakan sangat penting. Penulisan ini akan merungkai teknik-teknik penting yang boleh diamalkan dalam menguruskan hutang anda dengan berkesan. Jom baca untuk manfaat anda semua!
Bagaimana untuk Selesaikan Hutang Anda?
1. Kenalpasti Jumlah Hutang Anda
Mengenal pasti jumlah hutang yang anda miliki adalah langkah awal dalam memulakan proses menyelesaikan hutang. Selepas itu, anda boleh memulakan penyusunan bajet perbelanjaan bulanan dengan menggunakan aplikasi kewangan atau alat seperti Excel untuk mengawal perbelanjaan dan simpanan setiap bulan. Penting untuk menjadi jujur tentang pendapatan dan perbelanjaan anda, serta menyemak dengan teliti di mana penyesuaian boleh dilakukan. Disiplin dan komitmen untuk mengikuti bajet yang ditetapkan juga sangat penting.
Untuk menyelesaikan hutang tertentu, anda boleh melayari laman web atau aplikasi rasmi bank atau institusi kewangan yang bersangkutan, atau menggunakan nombor talian yang disediakan. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga menawarkan perkhidmatan kaunseling kewangan, program pengurusan hutang, dan program pendidikan kewangan secara percuma di seluruh negara.
Banyak bank juga bersedia untuk merunding semula syarat pinjaman. Ia penting untuk berbincang dan menetapkan semula cara pembayaran yang mampu dan disepakati oleh kedua-dua pihak.
2. Selesaikan Hutang dengan Faedah Paling Tinggi
Memberikan keutamaan untuk menyelesaikan hutang yang mempunyai kadar faedah paling tinggi adalah penting kerana ia boleh membantu mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar dan membolehkan hutang diselesaikan dengan lebih cepat. Biasanya, hutang dengan kadar faedah yang tinggi termasuk kad kredit atau pinjaman peribadi yang mempunyai kadar faedah tahunan yang tinggi.
Dengan mengurangkan jumlah hutang berfaedah tinggi, anda dapat mengurangkan jumlah faedah yang dikenakan ke atas keseluruhan hutang dan mengurangkan jumlah wang yang perlu dibayar secara keseluruhan. Ini akan membantu anda menyelesaikan hutang dengan lebih cepat dan mengurangkan beban hutang dalam jangka masa panjang.
Namun, sebagai manusia, kita mudah lupa untuk membuat pembayaran tepat pada masanya. Oleh itu, adalah sangat penting untuk membuat pembayaran hutang mengikut jadual dan memastikan pembayaran yang penting, termasuk pembayaran tertunggak, tidak terlepas pandang.
Beberapa cara untuk mengingatkan diri sendiri tentang pembayaran hutang termasuk menerima pemberitahuan melalui e-mel peringatan, aplikasi di telefon pintar dan pembayaran automatik (auto debit).
Teknik Pengurusan Hutang
1. Teknik Snowball
Kaedah ini dikenali sebagai Kaedah ‘Snowball’ dan melibatkan memberi tumpuan untuk melunaskan satu jenis hutang pada satu masa, sambil membayar jumlah minimum untuk hutang lain yang kurang penting. Secara ringkas, pendekatan ini mengarahkan usaha untuk menyelesaikan hutang yang jumlahnya kecil dahulu sebelum berfokus pada hutang yang lebih besar.
Teknik ‘snowball’ melibatkan beberapa langkah mudah yang membantu mengurangkan hutang anda. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil:
– Senarai semua hutang yang anda miliki dan susun mengikut jumlah baki hutang yang terendah.
– Nyatakan kadar faedah untuk setiap hutang supaya anda dapat mengira jumlah faedah yang perlu dibayar pada setiap hutang.
– Rancang bajet bulanan dengan teliti dan gunakan baki duit lebih untuk membayar hutang yang baki terendah.
– Setelah selesai melunaskan hutang dengan baki terendah, ulangi langkah-langkah di atas sehingga semua hutang diselesaikan.
2. Teknik Snowflake
Melalui kaedah ‘Snowflake’, anda akan melakukan pembayaran kecil dengan menggunakan baki wang yang ada setiap hari, minggu, atau bulan. Contohnya, menambah bayaran sebanyak RM10 kepada baki hutang kad kredit sebelum tarikh pembayaran. Dengan pendekatan ini, anda boleh lebih cepat melunaskan hutang berdasarkan kemampuan kewangan anda sendiri.
Teknik ini sesuai terutamanya untuk mereka yang baru bekerja, bekerja secara bebas atau sambilan. Dengan cara ini yang memerlukan komitmen yang lebih rendah, anda mungkin boleh menyelesaikan hutang tanpa banyak usaha. Berikut adalah langkah-langkah untuk menerapkan strategi ‘Snowflake’:
– Senaraikan hutang anda dan rancang cara pembayaran dengan teliti.
– Pastikan anda membayar jumlah minimum untuk semua hutang.
– Apabila mampu, bayar lebih daripada jumlah minimum. Contohnya, jika terdapat baki RM20 atau RM50 dalam bajet mingguan atau bulanan, gunakan wang tersebut untuk membayar hutang.
– Teruskan pendekatan ini sehingga semua hutang selesai diselesaikan.
3. Teknik Avalanche
Berbeza dengan kaedah ‘Snowball’, kaedah ini memerlukan anda untuk mengutamakan pembayaran hutang-hutang yang mempunyai kadar faedah tinggi seperti kad kredit dan hutang peribadi. Pendekatan ini disebut sebagai kaedah ‘Avalanche’ yang merupakan cara yang paling efisien dan berjimat dalam perspektif kewangan. “Jimat” dalam konteks ini merujuk kepada kemampuan untuk mengurangkan bayaran faedah yang tinggi.
Jadi jika anda jenis seseorang yang rimas dengan jumlah faedah tinggi, boleh cuba teknik ini. Langkah-langkah untuk mengaplikasikan teknik ‘avalanche’:
– Senaraikan semua hutang beserta jumlah dan kadar faedah;
– Utamakan hutang dengan kadar faedah tertinggi untuk dihabiskan dahulu;
– Rancang bajet bulanan dengan teliti;
– Gunakan duit lebihan untuk menyelesaikan hutang dengan kadar faedah tertinggi;
– Jangan lupa membayar jumlah minimum untuk hutang yang lain;
– Ulangi langkah-langkah di atas sehingga semua hutang diselesaikan.
4. Teknik Penyatuan Hutang
Penyatuan hutang merujuk kepada tindakan mengambil pinjaman baru untuk melunaskan semua hutang yang sudah ada. Hutang-hutang yang lebih kecil digabungkan menjadi satu hutang baru, biasanya dengan kadar faedah atau pembayaran bulanan yang lebih rendah.
Kelebihan dari pendekatan ini adalah anda tidak perlu lagi mengurus pembayaran hutang di banyak tempat, hanya perlu fokus pada satu pembayaran saja.
Selain itu, dengan mengambil hutang baru dengan jangka masa pembayaran yang lebih panjang, pembayaran bulanan dapat diperkecil. Misalnya, sebelumnya anda mungkin perlu membayar RM1,000 sebulan untuk semua hutang. Tetapi setelah penyatuan hutang, pembayaran bulanan mungkin hanya RM600. Pendekatan ini terutama berguna bagi mereka yang menghadapi masalah aliran tunai yang terhad.
Di Malaysia, beberapa bank menawarkan produk khusus untuk tujuan penyatuan hutang. Berikut adalah langkah-langkah untuk menggunakan kaedah penyatuan hutang ini untuk menyelesaikan hutang anda:
– Lakukan penyatuan dengan pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah;
– Lakukan penyatuan dengan pinjaman dengan tempoh bayaran yang lebih lama;
– Lakukan penyatuan jika potongan gaji melebihi 60% (untuk penjawat awam).
Memilih kaedah pengurusan hutang yang sesuai dengan diri sendiri dan kemampuan kewangan sangat penting. Ada kaedah yang efektif untuk melangsaikan hutang dengan cepat tetapi memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi, sementara ada kaedah yang lebih fleksibel. Buat keputusan yang bijak dan pilih kaedah yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan diri sendiri. Sebaiknya anda mengambil masa untuk menilai keadaan kewangan dan memilih kaedah yang paling berkesan untuk membantu anda melangsaikan hutang dengan berjaya.
Jangan lupakan juga perlindungan kewangan anda di kemudian hari nanti. Ayuh dapatkan Kad Perubatan PruBSN dan pelan Hibah Takaful PruBSN, pelan kad perubatan dan hibah terbaik yang direka khusus untuk anda. Klik link WhatsApp untuk berhubung dengan saya, Naim Fital, ejen takaful berpengalaman anda bagi khidmat nasihat berkaitan kad perubatan dan hibah takaful.